
Menurut Syed Razif, aspek kestabilan dan keselamatan meyakinkan pengunjung untuk datang ke Malaysia
KUALA LUMPUR, 4 Ogos:
Nahas MH17, kehilangan MH370 dan masalah jerebu tidak menjejaskan kemasukan pelancong asing ke negara ini.
Menurut Presiden Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia, Datuk Syed Razif Syed Yassin, aspek kestabilan dan keselamatan meyakinkan pengunjung untuk datang ke Malaysia.
“Walaupun trajedi MH370 dan MH17 mengejutkan banyak pihak, pelancong masih mempunyai syarikat penerbangan lain untuk datang ke negara ini, sekiranya kurang yakin dengan MAS.
“Begitu juga dengan isu di Lahad Datu dan masalah jerebu, ia adalah isu terpencil yang ditenggelamkan oleh tragedi MH370 dan MH17 yang lebih menarik perhatian pelancong, kerana ia isu global,” katanya.
Berikutan dua insiden membabitkan syarikat penerbangan milik negara, Syed Razif berpendapat, kerajaan perlu meningkatkan strategi, memandangkan ia menyasarkan kedatangan 28 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi, Vickneswaran, menjelaskan kedatangan pelancong ke Pulau Legenda itu tidak menunjukkan kemerosotan.
“Dua insiden yang berlaku di negara ini tidak menjejaskan industri pelancongan di Langkawi, walaupun terdapat pembatalan tempahan ketika kejadian baru berlaku membabitkan dua keluarga dari Belanda dan beberapa kumpulan pelancong dari negara lain, tetapi situasi ini tidak menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini,” ujarnya.