Batalkan saman adinda Sultan Kelantan

KUALA LUMPUR - 
Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman dikemukakan adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan menangkapnya secara salah, selepas putera itu dan peguamnya gagal hadir di mahkamah.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak polis dan kerajaan untuk membatalkan saman itu, dan memerintahkan Tengku Muhammad Fakhry membayar kos RM5,000 kepada semua defendan.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili defendan, memberitahu pemberita mereka meminta saman itu dibatalkan berikutan ketidakhadiran Tengku Muhammad Fakhry dan peguamnya yang baru dilantik apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.
"Mahkamah dan defendan-defendan mengesahkan tiada peguam bela baharu dalam rekod untuk mewakili Tengku Muhammad Fakhry. Mahkamah membatalkan saman itu dengan kebebasan untuk memfailkan saman baharu," kata Azizan.
Beliau berkata, peguam Nizam Bashir, yang sebelum ini mewakili Tengku Muhammad Fakhry, telah menarik diri. Mahkamah pada 17 September, membenarkan permohonan peguam itu untuk menarik diri daripada mewakili putera itu. - Bernama

Popular Posts

Followers